Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 2
July 02, 1970Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)
Pembukaan Rasmi
KHUTUB Khanah itu menggunakan Bilik Pertahanan Awam pada 15 Februari 1969 setelah pihak JKR menjalankan kerja-kerja ubahsuai bangunan tersebut di bawah pengawasan Juruteranya iaitu Encik Lim Teik Mei.
Pada peringkat permulaannya, khutub khanah ini hanya dibuka sebagai bilik bacaan sahaja kerana koleksi buku-buku yang ada belum mencukupi untuk dipinjamkan kepada pengguna. Pinjaman buku-buku kepada ahli-ahli hanya dibenarkan mulai pertengahan bulan Julai,1970 setelah jumlah koleksinya meningkat kepada 5,000 naskhah. Jumlah ahli yang berdaftar sehingga April, 1971 adalah seramai 207 orang.
Bangunan khutub khanah yang mempunyai keluasan lantai 3,600 kaki persegi itu telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 April, 1969 iaitu selepas Baginda merasmikan pembukaan Jambatan Syed Alwi. Peristiwa itu adalah satu detik sejarah bagi negeri Perlis kerana ia merupakan salah sebuah negeri yang mula-mula sekali dapat mengadakan sebuah khutub khanah di Semenanjung Malaysia ini.
Perkembangan Khutub Khanah Negeri
Khutub Khanah yang baru dibuka itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat di Perlis khususnya para pelajar sekolah di sekitar bandar Kangar dan juga siswa siswi, yang balik bercuti, turut menggunakannya sebagai tempat membuat rujukan.
Keadaan ruang yang sedia ada semakin sempit apabila bilangan pengguna semakin ramai serta koleksi buku yang bertambah pada setiap tahun. Akhirnya, Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berada sebumbung dengan Bilik Pertahanan Awam, telah menyerahkan ruangnya untuk digunakan oleh khutub khanah tersebut. Dengan pemberian itu, keluasannya telah dapat ditambah sebanyak 2,000 kaki persegi lagi. Walaupun keluasan ini dianggap kecil bagi menampung sejumlah 120,000 rakyat Perlis pada ketika itu, tetapi ia tetap menjadi kebanggaan kepada mereka, yang telah dapat menjadikannya sebagai titik permulaan ke arah melahirkan rakyat yang gemar membaca dan berilmu.
0 comments